Gugurkan soalan itu
Oleh ALIAS ISMAIL
rencana@kosmo.com.my
Jika sebelum ini, soalan bocor antara isu yang sering melanda peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), baru-baru ini situasi yang berlaku pada kertas soalan Bahasa Melayu I (BMI) turut mengejutkan ramai golongan pendidik. Rungutan calon peperiksaan yang diakui sendiri oleh pakar akademik apabila satu soalan kertas BMI didapati tiada jawapan tepat. Persoalannya bagaimana situasi itu boleh berlaku dalam satu peperiksaan sebesar PMR? Manakala keduanya, adakah soalan tersebut masih lagi dikira atau diberi pemarkahannya? Ramai ibu bapa menggesa Lembaga Peperiksaan Malaysia menggugurkan pemberian markah untuk soalan Bahasa Melayu I (BMI) yang dikatakan tidak mempunyai jawapan tepat itu. Rata-rata mereka yang menghubungi Kosmo! berkata, soalan itu pada umumnya merugikan semua calon, lebih-lebih lagi calon pintar. Seorang bapa, Shahlan Kadiron, 43, dari Segamat, Johor, berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan atau dipandang mudah kerana melibatkan markah calon PMR. Katanya, prestasi pelajar dalam BM1 amat penting dan merupakan ‘nyawa’ kepada penentuan markah mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) secara keseluruhannya.
“Eloklah diberi perhatian cadangan membatalkan soalan itu atau tidak diambil kira soalan itu dalam penentuan pemberian markah kepada calon PMR. “Kami sebagai ibu bapa mengemukakan cadangan ini dengan ikhlas dan tidak mahu menuding jari siapa bersalah dan siapa perlu dihukum. “Kami bukan mendesak ‘pesalah’ dihukum. Kesilapan begini bukan disengajakan, cuma kalau dah silap, harap ada jalan keluar yang saksama,” katanya. Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pendedahan seorang ibu calon PMR pada 13 Oktober lalu bahawa soalan nombor 25 BM1 tiada pilihan jawapan tepat.
Jawapan I soalan aneka pilihan yang memerlukan calon memilih ayat-ayat yang betul itu berbunyi; ‘Pesuruh-pesuruhjaya negara ASEAN yang bermesyuarat di negara kita diraikan dalam satu majlis makan malam.’
Jawapan II ditulis; ‘Mesyuarat permuafakatan antara sekolah menengah dengan sekolah rendah turut dihadiri oleh guru-guru besar.’
Jawapan III pula: ‘Ketidakpuasan hati penduduk setempat terhadap pemaju kawasan perumahan itu telah disuarakan kepada wakil rakyat.’
Jawapan IV ditulis; ‘Pengambilalihan syarikat itu oleh pengurusan baharu bertujuan untuk memantapkan pengurusan syarikat.
Dia yang mendakwa, kesilapan itu berlaku pada pilihan jawapan I dan pilihan jawapan IV dan jawapan yang betul ialah pilihan II dan III namun tidak tersenarai jawapan itu.
Kenyataannya disokong pakar bahasa, Prof. Datuk Dr. Nik Safiah Karim mengesahkan, kesilapan berlaku pada jawapan I yang sepatutnya ditulis ‘pesuruhjaya-pesuruhjaya’; bukannya ‘pesuruh-pesuruhjaya. Kesilapan jawapan IV pula, katanya, ialah penggunaan dua perkataan sama fungsinya iaitu ‘bertujuan untuk’, yang sepatutnya digugurkan salah satu perkataan itu. Beliau berkata, pendedahan itu baik kepada masyarakat dan negara jika kita benar-benar positif dalam hal memartabatkan bahasa kebangsaan. Katanya, langkah itu tidak wajar dilihat sebagai bertujuan negatif atau mahu mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya dilakukan demi kebaikan pelajar. Katanya, pelajar perlu diberi kemenangan dalam soal itu kerana mereka perlu dididik dengan ilmu dan aspek bahasa kebangsaan yang betul. “Kalau kita mengambil ringan perkara ini, generasi muda akan melihat bahawa maruah bahasa kita terlalu rendah dan kesilapan sebegitu tidak perlu diatasi.
“Amat malang jika persepsi itu tertanam dalam fikiran pelajar kerana mereka akan membesar dalam keadaan tidak sensitif akan kepentingan mendaulatkan bahasa kebangsaan,” katanya. Beliau berkata, kecenderungan membiarkan bahasa kebangsaan berada dalam keadaan ‘terperosok’ di negara sendiri kian jelas. Umpamanya, kata beliau, generasi baru semakin cenderung menggunakan istilah Inggeris yang langsung tidak disesuaikan dengan sistem bahasa kebangsaan. Kini, katanya, kian ramai individu bercakap menggunakan perkataan atau kosa kata bahasa Melayu menggunakan sebutan bahasa Inggeris. Katanya, semua itu perlu disekat sejak individu itu berada di bangku sekolah, dan salah satu daripadanya, memastikan mata pelajaran Bahasa Melayu diajar dengan betul. “Hal ini termasuklah memastikan soalan dan jawapan dalam apa juga tahap atau peringkat peperiksaan, betul dalam semua aspek apatah lagi dalam perkara yang wajib. “Kini terpulanglah kepada LPM sama mahu mendengar atau tidak saranan ibu bapa. Masyarakat tentu akur bahawa mereka mempunyai autoriti dalam soal ini.
“Sama ada LPM berasa terpanggil untuk bersetuju atau tidak, saya sarankan buatlah keputusan dengan penuh bijaksana dan utamakan kepentingan umum,” katanya. Sementara itu, seorang guru di Pahang, Hasrul Rashid, 42, berkata, dia tidak menyedari perkara itu sehinggalah diberitahu pelajarnya petang 12 Oktober lalu. Katanya, dia berbincang dengan beberapa rakan yang juga guru Bahasa Melayu dari tiga sekolah menengah sekitar Raub dan bersetuju bahawa soalan itu tiada jawapan tepat. “Kenapa perkara seumpama itu boleh berlaku, sedangkan penggubal soalan tentu terdiri daripada guru yang pakar dalam aspek bahasa khususnya tatabahasa. “Adakah ini gambaran mutu kerja panel soalan berkenaan, ketidakmahiran mereka dalam aspek bahasa, atau adakah wujud faktor lain puncanya? “Mungkinkah kita memerlukan sekumpulan guru baharu sebagai panel penggubal soalan selepas ini? Saya tidak mampu menghuraikan semua ini. “Yang tahu hanya LPM dan panel penggubal soalan itu sendiri. Saya harap semua ini tidak berlaku pada tahun seterusnya. “Banyak kesan buruk timbul jika perkara seumpama ini terus berlaku, antaranya pelajar hilang keyakinan akan kredibiliti soalan PMR’,” katanya. Tambahnya, berdasarkan pandangan orang ramai, wajarlah LPM mengambil langkah paling wajar dan keputusan mereka dinanti-nantikan semua pihak.






